JANUARI 2023

Mulakan Projek Dalam Tempoh Sebulan Selepas Penyerahan Tapak


BETONG: Kontraktor yang ditawarkan kontrak kerajaan dikehendaki melaksanakan projek berkenaan dalam tempoh sebulan selepas tarikh penyerahan tapak.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, jika gagal melaksanakannya, tindakan tegas termasuk menamatkan tawaran akan dipertimbangkan ke atas kontraktor berkenaan.

Tindakan itu merupakan sebahagian daripada langkah diambil oleh Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) menangani projek dilaksanakan tidak mengikut jadual atau projek sakit, katanya pada mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Bahagian Betong di sini hari ini.

Hadir sama Residen Bahagian Betong, Richard Michael Abunawas, Ahli-ahli Dewan UNdangan Negeri, Datu Gerald Rentap Jabu (Layar), Mohd. Radzi Sitam (Saribas), Mohd. Chee Kadir (Kabong), Razaili Gapor (Beting Maro), Friday Belik (Krian), Mohamad Duri (Kalaka) dan Dayang Noorazah Awang Sohor (Lingga).

Ahli Parlimen Betong, Dr Richard Rapu dan Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohd. Shafizan Kepli turut hadir.

Uggah yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan berkata, syarat lebih ketat turut dilaksanakan dalam menawarkan kontrak disebabkan ada kontraktor memperoleh lebih daripada 20 projek untuk dilaksanakan.

“Kerajaan khuatir, jika kontraktor mendapat tawaran kontrak terlalu banyak, mereka dikhuatiri tidak dapat melaksanakannya,” tegas beliau.

Dalam pada itu, katanya, kerajaan turut bimbang wujud kontraktor menyerahkan projek terbabit kepada sub kontraktor.

Menyerahkan kontrak kepada sub-kontraktor boleh menjejaskan kualiti projek yang dilaksanakan dan lebih buruk lagi apabil projek terbabit lewat daripada jadual dan menjadi projek sakit, katanya.

Menurut Uggah, apabila projek itu dikategori sebagai projek sakit, yang menjadi mangsa adalah rakyat dan kerajaan akan dipersalahkan.

Uggah juga berkata, terdapat keperluan untuk membelanjakan bajet pembangunan tahunan dalam tempoh ditentukan.

“Seperti di Bahagian Betong, kita mempunyai Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) yang diperuntukkan RM1.5 bilion setahun sebagai sebahagian daripada perbelanjaan tambahan. Justeru, kita harus membelanjakannya bersama peruntukan tambahan,” tegas beliau.

“Bagaimanapun, jika kita masih memiliki kontraktor yang gagal berfungsi sehingga menyebabkan banyak projek sakit, semakin banyak masalah akan timbul,” tegas beliau.

Sehubungan itu, Uggah menggesa jabatan dan agensi kerajaan terbabit supaya bekerjasama dengan semua wakil rakyat bagi membantu memantau pelaksanaan projek.

Sumber dari : Jiwa Bakti